Kursus Penyediaan Proposal Berimpak Tinggi

1Februari 2024 - Program ini diadakan bagi memberi pendedahan kepada pensyarah di Jabatan Matematik, Sains dan Komputer (JMSK) bagaimana untuk menyediakan kertas kerja yang berimpak tinggi. Kursus ini telah diadakan selama satu hari iaitu pada 1/02/2024.

Seramai 12 orang pensyarah JMSK PSAS telah menghadiri Kursus Penyediaan Proposal Berimpak Tinggi bertempat di Pusat Kajian Pembudayaan STEM Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Sesi dimulakan dengan sesi pengenalan oleh Prof. Ts. Dr. Mohamad Sattar Rasul berkenaan STEM selaku Pengerusi Pusat Kajian Pembudayaan STEM, UKM Bangi. Diikuti dengan ucapan penghargaan daripada Ketua Jabatan JMSK PSAS Puan Nor Mazana binti Ismail kepada pihak STEM UKM yang sudi menerima kehadiran pensyarah JMSK.

Kursus bermula dengan sesi perkongsian ilmu proposal daripada Prof. Ts. Dr. Mohamad Sattar beserta isi kandungan yang perlu disediakan. Kemudian sesi seterusnya ialah sesi pembentangan berkaitan dengan Proposal STEM yang telah disampaikan oleh Puan Suhana binti Ramli selaku Pengurus Unit STEM JMSK. Dengan itu, Prof.Ts. Dr. Mohamad Sattar telah memberi komen dan cadangan pembaikan proposal tersebut bagi menjadikan ia lebih menarik dan berimpak tinggi.

Sesi seterusnya adalah semua pensyarah JMSK yang hadir telah dibawa ke Akademia Siber Teknopolis, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang dibina berkonsepkan industrial look. Di sini peserta kursus diberi pendedahan berkenaan pembangunan inovasi dan penyelidikan STEM melalui pencetak 3D.

Di akhir sesi En Zaril Faizal bin Zaral Gaffar selaku pengurus Taman Eko-Pelajaran PSAS telah membentangkan pelan pembangunan Taman Eko-Pelajaran. Penglibatan bersama Dr Halim Bin Haji Razali selaku Research Fellow dari Institut Penyelidikan Tenaga Suria atau Solar Energy Research Institute (SERI), UKM memberi impak yang positif. Sama seperti proposal STEM, proposal ini juga perlu diperbaiki dan banyak input yang menarik telah diterima. Antaranya ialah Prof. Ts. Dr. Mohamad Sattar akan cuba mendapatkan khidmat kepakaran daripada UKM bagi membantu membangunkan Botanical STEM. Tujuannya adalah untuk membangunkan satu tapak perkhemahan STEM berasaskan kajian berkonsepkan botani bagi mendapatkan dana dalam bidang tersebut. Sasarannya ialah FELDA, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Pendidikan Daerah Muallim dan negeri Perak amnya.

I BUILT MY SITE FOR FREE USING