23 Ogos 2023 - Susulan perbincangan pada 20 Julai lepas, delegasi dari Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan yang diketuai oleh Cik Nur ain binti Chek Mustafa (Penolong Pemelihara hutan Renjer Slim River) telah berkunjung ke Politeknik Sultan Azlan Shah bersama dengan empat orang pegawai iaitu Cik Noorhadzilah binti Shafie (Pengawas Hutan), En. Suhamir bin Abd. Hamid (Pembantu Awam), Mohamad Tahir bin Adnan (Pembantu Awam) dan En. Mohd. Azli bin Markawi (Pembantu Awam). PSAS pula diwakili oleh En. Zaril Faizal bin Zaral Gaffar, En. Sazali bin Ibrahim dan En. Anuar bin Abd. Wahab.
Hasil daripada pengecaman yang dibuat oleh pihak Jabatan Hutan sebanyak 57 pokok telah dikenalpasti spesiesnya. Berikut adalah senarai spesies pokok mengikut kategori yang telah dikenalpasti:
DIPTEROCARP (Kaum Damar) | NON-DIPTEROCARP (Bukan Kaum Damar) |
---|---|
Meranti Temak Nipis (Shorea roxburghii) | Karas (Aquilaria malaccensis) |
Meranti Batu (Shorea dasyphylla) | Khaya (Khaya spp.) |
Gerutu-gerutu (Parashorea stellata) | Pelong Licin (Pentaspadon motleyi) |
Merawan Siput Jantan (Hopea odorata) | Putat (Barringtonia spp.) |
Cengal (Neobalanocarpus heimii) | Merbau (Instia palembanica) |
Merawan Kelabu (Hopea glaucescence) | Kandis (Garcinia spp.) |
Meranti Damar Hitam Gajah (Hopea gibbosa) | Tulang Daing (Callerya atropurpurea) |
Meranti Tembaga (Shorea leprosula) | Sesenduk (Endospermum diadenum) |
Meranti Sarang Punai (Shorea parvifolia) | Hampas Tebu (Gironneria spp.) |
Tempinis (Streblus elongatus) | |
Tembusu Padang (Fagraea fragrans) | |
Kasai Daun Besar (Pometia pinnata) | |
Pulai (Alstonia angustiloba) | |
Simpoh Paya (Dillenia suffruticosa) | |
Medang Teja (Cinnamomum iners) | |
Jangkang Bukit (Xylopia ferruginea) | |
Membuloh (Pellacalyx spp.) | |
Terap Hitam (Artocarpus scortechinii) | |
Durian Tupai (Durio griffithii) |
Pegawai-pegawai Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan telah menandakan pokok-pokok yang dicadangkan untuk ditebang bagi memberikan ruang untuk pokok-pokok terpilih mendapat bekalan cahaya yang mencukupi untuk tumbesaran dan juga menyediakan kawasan untuk ditanam dengan spesies pokok hutan.
Mereka juga telah memaklumkan bahawa pihak mereka mempunyai perkhidmatan untuk menebang pokok jika diperlukan. Kerja-kerja penebangan akan dilakukan secara percuma manakala jika pokok-pokok yang telah ditebang hendak dibawa keluar daripada PSAS akan dikenakan bayaran. Bayaran yang dikenakan akan merangkumi aspek sewaan lori pengangkut, lesen menebang pokok dan lain-lain caj.
Bagi memudahkan tugas mereka untuk menghantar benih pokok di Tapak Semaian Bidor, PSAS telah dijemput untuk ke premis tersebut bagi membuat pemilihan benih yang ingin ditanam di Taman Eko-Pelajaran. Dianggarkan lebih daripada 100 spesies pokok boleh ditanam di kawasan sediada Taman Rimba bagi tujuan mewujudkan sebuah arboretum.
Pihak Pejabat Hutan Daerah Perak Selatan telah memberikan idea untuk dibangunkan kawasan tapak perkhemahan di Taman Rimba bagi menarik pengunjung dari luar kawasan PSAS. Selanjutnya mereka telah mencadangkan kawasan Zon D (kawasan mata air) dibiarkan pada keadaan semulajadi bagi memelihara ekosistem sediada tanpa sebarang gangguan. Sesi telah ditamatkan pada jam 2.00 petang.